Sunday 13 December 2009

BERBELANJA BANTU EKONOMI

SEORANG pakar ekonomi India telah menulis satu artikel menarik mengenai hal yang berkaitan dengan simpanan dan perbelanjaan.

Jika berdasarkan artikel itu, lagi banyak kita menyimpan ekonomi akan semakin lemah. Untuk jadikan ekonomi kuat pula kena banyak berbelanja walaupun terpaksa berhutang.

Kata pakar itu, negara dengan simpanan yang banyak akan ketinggalan daripada segi ekonomi berbanding negara yang banyak hutang.

Jepun merupakan sebuah negara yang mempunyai simpanan cukup besar. Mereka tidak banyak berbelanja. Malah eksport Jepun mengatasi import. Pergilah ke ceruk mana dunia sekalipun pasti ada barang keluaran Jepun.

Tetapi realitinya, ekonomi negara matahari terbit itu lemah dan tidak stabil.

Berbeza dengan Amerika Syarikat (AS). Simpanan mereka sikit sahaja. Import negara kuasa besar sangat kecil berbanding eksport.

Setiap tahun defisit dagangan AS melebihi AS$400 bilion. Tetapi ekonomi AS masih dikatakan kuat dan semua pihak percaya ia akan menjadi bertambah kuat. Dalam apa-apa hal berkaitan dengan ekonomi kiblatnya tetap AS, walaupun hutang negara itu bertimbun dan tak terhitung.

Persoalan yang ditimbulkan oleh pakar ekonomi itu dalam artikelnya ialah dalam keadaan itu, dari mana AS dapat wang untuk menampung angka defisit yang cukup besar.

Jawapannya ialah melalui pinjaman. AS sebenarnya adalah negara peminjam terbesar di dunia. Boleh dikatakan mereka pinjam dari setiap orang. Mereka meminjam dari Jepun, China malah juga dari India.

Secara tidak langsung negara-negara ini ini pula menyimpan untuk dibelanjakan oleh AS.

Lagi pula majoriti simpanan global dilaburkan di AS dalam dolar. Semua orang berebut untuk menyimpan dan melabur di negara itu.

Negara seperti India menyimpan aset mata wang asing melebih AS$50 bilion dalam sekuriti AS.

Cina pula menyumbangkan lebih AS$160 bilion dalam sekuriti negara itu. Sementara pegangan Jepun dalam sekuriti negara kuasa besar tersebut berjumlah trilion dolar.

Hasilnya, AS memiliki lebih AS$5 trilion dalam bentuk pelaburan dan simpanan. Ini semua simpanan dunia yang dibelanjakan oleh AS untuk memakmurkan negaranya.

Negara-negara seperti China, Jepun, India dan negara dari Asia Barat serta rantau lain sebenarnya yang membantu menggerakkan ekonomi AS. Untuk memastikan AS terus berbelanja, dalam setiap tiga bulan negara-negara ini mengirimkan wang AS$180 bilion, atau AS$2 bilion sehari.

Sebab itu pakar-pakar ekonomi China bertanya, siapa yang melabur lebih? AS di China atau China di AS?

Jawapannya ialah pelaburan AS di China kurang daripada separuh berbanding apa yang dilakukan oleh China di AS. Begitu juga dengan India. Negara itu telah melabur lebih AS$50 bilion. Tetapi pelaburan AS di India hanya AS$20 bilion.

Satu lagi persoalan yang timbul, kenapa dunia berlumba-lumba mengejar AS?

Rahsianya menurut artikel yang ditulis oleh pakar ekonomi India itu ialah pada cara negara itu berbelanja. Rakyat AS hanya tahu berbelanja dan berbelanja. Mereka tidak tahu menyimpan. Malah pendapatan masa depan mereka juga habis dibelanjakan melalui penggunaan kad kredit yang cukup meluas.

Sebab itu AS menjadi negara yang cukup besar untuk pasaran eksport. Setiap benda yang dihasilkan di muka bumi ini pasti akan dieksport ke AS kerana mereka sanggup membeli. Sebab itu jumlah importnya lebih besar daripada eksport.

Walaupun cara ekonomi AS bergerak itu nampak pelik namun dunia bergantung kepada cara ia berbelanja untuk tumbuh. Pertumbuhan ekonomi dunia banyak bergantung kepada budaya berbelanja AS ini.

Ketika AS perlukan duit untuk berbelanja, dunia akan sediakan untuknya. Seolah-oleh AS telah menggunakan dunia untuk membiayai setiap keperluannya.

Siapa pembiaya AS yang paling besar? Sudah tentu Jepun. Walaupun ekonominya dianggap lemah tetapi Jepun merupakan penyumbang terbesar kepada duit poket untuk AS berbelanja setiap hari.

Pakar ekonomi itu berkata, ekonomi Jepun lembap sebab rakyatnya tidak berbelanja.

Walaupun bermacam-macam cara dilakukan kerajaannya termasuk pelbagai galakan diberikan namun rakyatnya masih sukar untuk berbelanja.

Di Jepun faedah simpanan cukup rendah, malah penyimpan akan dikenakan bayaran, itu pun belum mampu untuk memaksa rakyat berbelanja.

Bayangkan dalam simpanan pos tradisional mereka sahaja ada AS$1.2 trilion. Angka itu tiga kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India. Dan berpuluh kali ganda melebihi KDNK Malaysia.

Jika apa yang dilakukan oleh AS itu diambil sebagai pengajaran, maknanya sesebuah negara itu perlu berbelanja jika mahu berkembang.

Bukan sahaja berbelanja tetapi meminjam untuk meningkat perbelanjaan. Itu yang dilakukan oleh AS dan ekonominya terus berkembang walaupun saban tahun ia menanggung defisit bernilai trilion dolar.

Sebab itu seorang pakar ekonomi kelahiran India, Dr. Jagdish Bhagwati, memberitahu Presiden India, Manmohan Singh bahawa jika mahu ekonomi berkembang kena minta rakyatnya berbelanja.

Belanja apa sahaja termasuk beli kereta import dan kosmetik. Ini akan meletakkan India pada landasan untuk berkembang.

Perkara yang sama pernah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berhadapan dengan krisis ekonomi pada 1997.

Jika diikutkan teori, ketika krisis kena berjimat. Kadar faedah dinaikkan untuk menggalakkan orang menyimpan dan tidak meminjam.

Tetapi Dr. Mahathir melawan teori konvensional itu. Pada beliau rakyat perlu berbelanja jika mahu ekonomi terus bergerak.

Sebab itu ketika krisis 1997-98 Dr. Mahathir mengarahkan bank menurunkan kadar faedah untuk pinjaman dan kad kredit supaya ia mampu menggerakkan ekonomi pinjaman di sektor perumahan dan automotif.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di AS. Ekonomi dunia terus kuat sebab rakyat AS terus berbelanja dan dunia terus membekalkan AS dengan wang yang cukup untuk berbelanja. Bayangkan apa akan jadi jika satu hari apabila rakyat AS bangun dari tidur dan tiba-tiba merasakan mereka tidak lagi mahu berbelanja?

Tentunya ekonomi dunia akan jatuh merudum. Seperti kata pakar ekonomi India itu dalam artikelnya 'menyimpan satu dosa, berbelanja itu mulia.'